Kuching, 10 September 2024 - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan bahawa insentif bagi pemenang pingat emas di Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 akan diselaraskan sama dengan yang diterima pemenang SUKMA.
Ini bermakna pemenang pingat emas Para SUKMA akan menerima ganjaran RM15,000, setanding dengan atlet SUKMA yang lain.
"Sama rata dengan SUKMA. RM15,000 bagi setiap pingat emas. Jangan risau, Abang Jo ada di belakang anda. Selain daripada pingat emas, pemenang pingat perak akan menerima RM5,000, dan gangsa akan menerima RM3,000. Malah, insentif juga diberikan kepada pasukan berpasukan," tambahnya, merujuk kepada sokongan penuh kerajaan negeri kepada atlet.
"Selagi negeri kita dalam keadaan baik dan rakyat menyokong atlet kita, kita akan terus berusaha mengharumkan nama negara. Latihan sudah kita berikan, yang tinggal sekarang hanyalah semangat," tambah beliau.
Majlis ini diadakan sempena upacara Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Para Sarawak di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, sebagai persediaan bagi Para SUKMA XXI yang bakal berlangsung.
Premier Sarawak menegaskan bahawa tiada perbezaan antara SUKMA dan Para SUKMA, dan atlet harus menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
Abang Johari juga menekankan pentingnya disiplin dalam sukan sebagai asas pembangunan negeri.
“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, ekonomi, dan sukan, kerana sukan membawa disiplin. Jika anak Sarawak berdisiplin, prestasi mereka akan meningkat. Disiplin juga penting dalam penerapan teknologi baharu, dan ia semua bermula dari sukan," jelas beliau.
Sarawak kini sedang membangunkan kemudahan sukan di seluruh negeri, termasuk di Sri Aman, Sibu, Bintulu, dan Miri, dengan hasrat menjadikan Sarawak sebagai pusat sukan utama di Malaysia. Beliau turut berkongsi bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama untuk Sukan SEA, dan majlis pembukaan dijangka berlangsung di Kuching.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato' Sri Hajah Fatimah Abdullah; serta Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee.